KUALA LUMPUR: Kereta berhias menampilkan 26 maskot watak-watak animasi terkenal tempatan merupakan antara tarikan sempena perarakan Hari Kebangsaan 2022 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Rabu ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohammad Mentek berkata selain itu demontrasi oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia juga akan menampilkan elemen kejutan untuk Keluarga Malaysia yang hadir pada hari berkenaan.

"Ini antara 'wow factor' dan elemen kejutan yang akan ditampilkan di perarakan itu, saya tak boleh nak cerita semua, kita nak bagi 'element of suprise' untuk orang ramai nanti," katanya dalam rancangan Bicara Naratif yang ditayangkan secara langsung di TV1 malam tadi.

Dalam perkongsiannya berhubung pengisian perarakan Hari Kebangsaan 2022 yang dijadual bermula seawal 8 pagi di Dataran Merdeka 31 Ogos ini, beliau berkata kereta berhias Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pula akan menampilkan maskot filem hebat animasi negara Upin Ipin dan Ejen Ali.

Mohamad berkata untuk menambah keterujaan terutama kanak-kanak, kereta berhias yang membawa maskot ini akan dibawa semula ke Dataran Merdeka selepas selesai majlis perarakan bagi memberi peluang kepada pengunjung mendekati maskot-maskot ini.

Selain itu, perarakan tahun ini juga tidak melupakan kejayaan industri kreatif negara iaitu filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dengan membawa pelakon-pelakonnya ke pentas perarakan.

Perarakan Hari Kebangsaan 2022 kembali diadakan di Dataran Merdeka secara skala besar seperti kelaziman setiap tahun selepas dua tahun disambut di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada skala kecil disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Dijangka 50,000 Keluarga Malaysia akan hadir ke acara besar-besaran serta penuh kelainan itu.

-- BERNAMA