KUALA LUMPUR:Kerajaan bukan sahaja perlu mengimbangi di antara keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat, malah berdepan dengan persoalan demokrasi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berpandangan bahawa demokrasi tidak dapat dipelihara dengan sebaik mungkin apabila kawalan ketat dikuatkuasakan bagi mengekang COVID-19.

“Kita nak pilihan raya itu bebas, adil dan seterbuka yang mungkin. Itu hasrat demokrasi,” jelas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menerusi Buletin AWANI Khas pada Ahad.

“Tapi kalau banyak sangat SOP dan banyak sangat kawalan, masihkah demokrasi itu terpelihara dalam konteks pilihan raya yang terkawal? Nanti kerajaan juga kena marah.

“Mungkin kalau boleh ditiadakan pilihan raya dan diadakan pilihan raya hanya pada waktu ketika COVID-19 telah selesai.

"Bukan nak mengelakkan pilihan raya tetapi menangguhkannya.

“Mungkin satu-satu caranya ialah dengan mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut tetapi bukan untuk politik, untuk memastikan rakyat boleh berpartisipasi sepenuhnya dan sebaik-baiknya dalam pilihan raya,” ujar Saifuddin.

Beliau mengulas mengenai hal berkenaan susulan perutusan khas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengemukakan darurat sebagai cadangan untuk menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi dan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

BACA: PRK Batu Sapi, PRN Sarawak boleh ditangguh hanya jika isytihar darurat - PM

Dalam masa sama, Saifuddin menjelaskan bahawa alternatif lain seperti kemudahan undi pos dilihat kompleks untuk dilaksanakan secara besar-besaran.

“Peraturannya tak membolehkan begitu ramai mengundi pos. Mampukah SPR menguruskan undi pos?” ujar Saifuddin.

Tambah beliau, langkah untuk parti tidak bertanding di PRK Batu Sapi turut boleh menjejaskan proses demokrasi yang sihat.

PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Disember 2020 manakala PRN Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya pada Ogos 2021.