GOMBAK: Tidak mahu bersubahat, seorang wanita bertindak melaporkan 'perbualan' suami dan abang iparnya kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Ariffin Mohamad Nasir memberitahu, pada kira-kira pukul 11 pagi, Sabtu, pengadu terdengar bunyi pergaduhan di rumah abang ipar, yang juga jirannya.

"Kira-kira enam jam kemudian, iaitu dalam pukul 5 petang, hari sama pengadu terdengar perbualan antara suami dan abang iparnya untuk menanam satu mayat.

"Bertindak atas laporan pengadu yang diterima pada pukul 11.25 malam, Sabtu, polis bergegas ke tempat kejadian dan menemukan mayat seorang lelaki yang ditanam di belakang, berhampiran rumah mereka," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Berdasarkan siasatan awal, Ariffin memberitahu, mangsa dipercayai dibelasah menggunakan kayu, botol kaca dan tong besi sehingga mengakibatkannya mati.

Susulan itu, beliau memberitahu, polis menahan tiga beradik termasuk suami pengadu, berusia antara 29 dan 33 tahun.

Mereka direman tujuh hari bermula Ahad.

Katanya, polis masih mengesan empat lagi suspek termasuk teman wanita mangsa.

"Kita masih mengesan masing-masing dua lelaki dan wanita bagi membantu siasatan. Selain teman wanita (mangsa), kita juga sedang mengesan abang teman wanita mangsa, isterinya dan adik ipar," jelasnya.

Namun Ariffin memberitahu teman wanita mangsa tidak berada di lokasi ketika kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, beliau memberitahu, tiga suspek yang ditahan itu tidak mengenali mangsa, tetapi mereka mendapat tahu bahawa mangsa ada masalah dengan teman wanita, yang juga merupakan adik kepada salah seorang suspek yang masih diburu polis," jelasnya.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.