IPOH: Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meningkat kepada 538, dengan satu kematian dilaporkan, sehingga 17 Dis lalu (Minggu Epidemiologi ke-50).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak 367 kes, iaitu 214.6 peratus, berbanding 171 kes dengan satu kematian, pada tempoh sama tahun lalu.

"Berikut adalah lokaliti yang dilaporkan kejadian kes demam denggi semasa, sehingga 19 Dis.

"Satu lokaliti wabak tidak terkawal dikesan di rumah pangsa Bercham, melibatkan lima kes yang dijangka tamat pada 1 Jan tahun depan.

"Lapan lokaliti wabak terkawal di Taman Klebang Jaya (empat kes) dan dijangka tamat pada 21 Dis.

"Selain itu, Taman Emas Jati (tiga kes), Taman Mengelembu Impiana Adril (tiga kes), Taman Ramai, Taman Tasek Baru, Taman Gelombang, Taman Tasek Indra Dan Taman Malar - kesemua lokaliti ini mencatat dua kes - dan dijangka tamat sebelum 31 Dis," katanya.

Rumaizi berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Disember di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, kes chikungunya melaporkan sebanyak lima kes iaitu di Taman Gelombang dan dijangka tamat pada 28 Dis.

"Laporan kajian aedes dan pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak mendapati kawasan kebun tanpa kebenaran dan lot kosong milik persendirian yang semak-samun di kawasan berhampiran, selain taman perumahan, menjadi punca utama tempat pembiakan jentik-jentik aedes.

"Justeru, semua pemilik kebun dan lot kosong milik persendirian di sekitar bandar raya Ipoh diminta untuk memastikan penyelenggaraan berkala supaya kebun dan tanah lot tidak menjadi tempat pembiakan jentik-jentik," katanya lagi.

Tambahnya, sehingga Isnin lalu, Unit Kawalan Vektor MBI mengeluarkan 178 tawaran kompaun bernilai RM89,000 di bawah Seksyen 13 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 kerana kesalahan membiakkan atau memberi perlindungan kepada serangga pembawa penyakit.

Beliau berkata, aktiviti pencegahan dan kawalan demam denggi oleh semua pihak harus terus dipertingkat dalam musim hujan yang dijangka berterusan.

Di samping itu, usaha membasmi denggi secara berterusan diharap mampu mengurangkan kepadatan/densiti nyamuk aedes supaya berada pada tahap seminimum yang boleh pada setiap masa.