Skip to main content

Malaysia

Dewan Pameran A MAHA 2026 dibuka semula selepas disahkan selamat - Penganjur

EXPO MAHA_EXPO MAHA
Pemeriksaan oleh JBPM bersama-sama pasukan pengurusan keselamatan tapak mendapati tiada ancaman keselamatan berterusan di Dewan Pameran A yang ditutup sementara susulan insiden asap dan bau kurang menyenangkan semalam. - Foto Expo MAHA
Advertisement

SERDANG: Dewan Pameran A (Dewan A) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dibuka semula kepada pengunjung petang semalam selepas ditutup sementara susulan insiden kemunculan asap dan bau kurang menyenangkan.

Jawatankuasa Penganjur Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dalam kenyataan memaklumkan insiden pada 4.50 petang semalam telah dikawal dengan pemeriksaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama pasukan pengurusan keselamatan tapak mendapati tiada ancaman keselamatan berterusan.

“Pihak penganjur ingin menegaskan insiden teknikal itu telah diatasi tanpa melibatkan sebarang implikasi struktur.

“Tiada kecederaan, kecemasan perubatan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Dewan Pameran A telah disahkan selamat dan dibuka semula untuk kunjungan berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa itu memaklumkan tindakan pengosongan sementara dewan yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan standard di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) Keselamatan MAHA 2026 bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengunjung dan pempamer.

MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept di MAEPS melibatkan kira-kira 2,000 pempamer dengan sasaran kehadiran lebih empat juta pengunjung.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement