KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak (BN - Pekan) tidak mengingkari Speaker Dewan Rakyat meskipun tidak menjelaskan isu 1MDB pada Rabu seperti yang diarahkan sebelum ini.

Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, tidak timbul persoalan sama ada Ahli Parlimen Pekan itu mengingkari arahan Speaker atau tidak kerana beliau sendiri sudah memberi lanjutan masa kepada Najib.

Jelasnya, beliau telah menulis surat kepada Najib dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, meminta kedua-duanya menjelaskan kenyataan mereka selewat-lewatnya pada Rabu.

Begitupun pada Selasa, Azhar memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau menerima surat daripada Najib meminta pelanjutan masa sehingga Rabu depan dan beliau benarkan permohonan tersebut sehingga Selasa pagi nanti.

Parlimen | Dewan Rakyat 'panas' isu kenyataan 1MDB Najib


Keputusan itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen sehingga berlaku pertikaman lidah membabitkan Tony Pua (PH - Damansara) dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN - Baling) dan beberapa yang lain.

“Kita faham kalau beliau masuk hospital, tak dapat jawab atau dia mungkin seorang calon di Johor, tak dapat jawab, kita setuju.

“Tapi alasan dibuat secara terbuka dalam media sosial, dalam media adalah “Saya berkempen di Johor, tiada masa nak jawab Speaker di Parlimen.”

“Ini satu perkara yang menghina Parlimen, menghina Speaker,” kata Tony Pua.

Abdul Azeez kemudian mencelah, mempersoalkan mengapa Tony Pua membangkitkan isu tersebut kerana ketika Najib berbahas, beliau tidak hadir ke Parlimen.

“Masa bahas, Damansara ada dalam Dewan tak? Cara anda macamlah anda ada dalam Dewan,” kata Abdul Azeez.

“Saya ada,” balas RSN Rayer (PH - Jelutong).

“Sabar sema, sekarang itu keputusan saya, saya yang membenarkan pelanjutan masa,” kata Azhar pula.

Kemudian beberapa Ahli Parlimen lain turut mengatakan mereka ada di dalam Dewan Rakyat ketika Najib berbahas.

“Saya tanya Damansara…Damansara yang berbahas sekarang, saya tak tanya yang lain,” jawab Abdul Azeez.

“Pokok persoalannya yang dibangkitkan Damansara adalah sama ada Yang Berhormat Pekan mengingkari arahan saya…

“Beliau tidak mengingkari kerana saya beli pelanjutan masa sehingga Selasa, jam 10 pagi kepada beliau. Ya, jadi itulah keputusan saya,” kata Azhar.

Begitupun, jawapan daripada Azhar itu tidak disenangi Tony Pua yang menyatakan selepas ini Ahli Parlimen lain pula boleh melakukan perkara sama seperti dilakukan Najib.