KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022.

Pindaan tersebut bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor selepas bacaan kali ketiga dan diputuskan menerusi undian belah bahagian yang mana seramai 178 bersetuju, dan 42 tidak hadir.

Terdahulu, RUU tersebut dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Melalui usul tersebut, pindaan dicadangkan agar Perkara 119A dapat ditambah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Wan Junaidi berkata cadangan pindaan itu sudah dipersetujui secara bersama antara semua kerajaan negeri.

Selain itu, ia turut dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu dan telah dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 8 hingga 12 Mac.

Terdahulu, sewaktu menggulung, Ahli Parlimen Santubong itu berkata, RUU berkenaan tidak bermaksud untuk menidakkan hak golongan Kerabat Diraja seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Yang Berhormat Pasir Gudang tadi ada menyebut equality before the law – kita tak tarik kuasa mana-mana pihak, termasuk hak Raja-raja Melayu, tidak menarik hak Kerabat Diraja untuk mengundi. Mereka boleh buat pilihan, kalau mahu hendak dimasuk dalam senarai perintah itu nanti, berhak untuk terlibat dengan pengundian itu sendiri.

“Ini adalah satu facility kepada pihak ini, bahawa dia ada pilihan macam biasa juga untuk mengundi atau tidak, berkecuali atau tidak berkecuali, berbalik kepada pilihan mereka sendiri,” katanya lagi.

Wan Junaidi berkata, selepas RUU ini diluluskan, Kerajaan akan mengadakan libat urus sekali lagi dengan Kerajaan Negeri dan Majlis Raja-raja, sebelum peraturan ini diluluskan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perintah untuk menentukan siapa yang hendak dimasukkan dalam senarai negeri masing-masing.

Sewaktu membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, Wan Junaidi berkata, pindaan RUU yang dicadangkan melalui Perkara baharu 119A adalah seperti berikut: - 

“Ketidakpakaian Perkara 119 kepada Raja-Raja, dsb. melalui perintah 5 119A.

“Walau apapun Perkara 119, Yang di-Pertuan Agong boleh, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menetapkan suatu pengecualian kepada mana-mana Raja dan isterinya, mana-mana Yang di-Pertua Negeri dan isterinya, mana-mana bakal raja, waris ganti dan waris lain Raja dan isteri mereka, dan mana-mana orang lain, daripada pemakaian Perkara 119 dan apa-apa undang-undang berkaitan dengan pendaftaran pemilih,” katanya lagi.

Dan menyentuh mengenai terma ‘mana-mana orang lain’, beliau berkata, terma itu hanya terpakai kepada Kerabat Diraja yang mungkin berubah gelaran di masa akan datang, bukan untuk rakyat.