KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa beliau tidak pernah memohon pengampunan pada 2018 daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V, kerana kesalahan yang sudah disabitkan.

Perdana Menteri menegaskan Sultan Muhammad V berkenan mengambil inisiatif dan menelefon beliau untuk memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kerana baginda mengikut perkembangan perbicaraan kesnya.

Kata Ahli Parlimen Tambun itu lagi, apa yang diperjuangkan sebelum ini adalah bantahan terhadap penghakiman, yang disifatkan melanggar prinsip hukum.

"Saya harap Yang Berhormat khususnya dari Kelantan boleh mohon menghadap Sultan Muhammad V.

"Saya tidak mohon pengampunan kerana dihukum. Pengampunan diberi di atas pelanggaran prinsip keadilan. 

"Kita bantah penghakiman yang melanggar prinsip hukum, mengada-adakan termasuk dalam kes pertama membuat pertuduhan peristiwa berlaku di bangunan yang belum ada, dan memaksa orang menjadi saksi atau mengambil siasatan sebelum pun laporan polis dibuat.

"Saya nak jelaskan di sini ini fakta, ialah (YDPA) menelefon saya dan menyatakan Anwar, saya akan beri pengampunan penuh kerana saya ikuti perkembangan perbicaraan saudara dan saya petik apa yang Baginda guna ialah travesty of the justice atau pelanggaran prinsip keadilan.

"Oleh demikian saya (Sultan Muhammad V) akan memberi pengampunan penuh segera," katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Presiden PKR itu berkata, Pas didakwa memainkan persepsi pembebasannya kerana 'permohonan' pengampunan daripada Yang Dipertuan Agong.

Pada April 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan rasuah, dan pada Ogos 2000 beliau dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kerana kesalahan liwat.

Pada 2004, beliau dibebaskan selepas sabitan liwatnya dibatalkan tetapi pembebasannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Mac 2014.

Beliau kemudian menerima pengampunan diraja dan dibebaskan pada 2018 sebaik Pakatan Harapan mentadbir negara.