Skip to main content

Malaysia

Di Washington, Bazar Ramadan dan bubur lambuk menyulam rindu anak Malaysia

Sumber: Astro AWANI
Walaupun jauh dari tanah air, penganjuran Bazar Ramadan menjadi tarikan kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di Washington.

WASHINGTON: Di perantauan yang jauh dari tanah air, rindu terhadap suasana Ramadan di Malaysia sering menjadi teman setia rakyat kita di luar negara. 

Namun, pada setiap Sabtu sepanjang bulan mulia ini, Kedutaan Besar Malaysia di Washington mengubat kerinduan itu dengan penganjuran Bazaar Ramadan yang meriah dan penuh kehangatan komuniti.

Advertisement

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Shahrul Ikram Yaakob, berkata penganjuran bazar yang kini memasuki edisi kedua bagi Ramadan tahun ini bukan sekadar acara jualan makanan. 

Jauh lebih utama, ia merupakan usaha untuk membawa pulang “sebahagian kecil Malaysia” ke pangkuan rakyat di Amerika Syarikat.

“Kami mahu rakyat Malaysia di sini merasai suasana bazar Ramadan seperti di Malaysia,” katanya, menggambarkan harapan agar setiap pengunjung merasai nostalgia aroma kuih-muih, juadah tradisi dan gelak tawa yang biasa mewarnai malam Ramadan di tanah air.

Image
Sumber: Astro AWANI
Penganjuran Bazar Ramadan di Washington merupakan usaha untuk membawa pulang “sebahagian kecil Malaysia” kepada rakyat di Amerika Syarikat.

Antara detik yang paling dinanti-nantikan ialah penyediadaan dan pengagihan bubur lambuk, dilaksanakan oleh Badan Kebajikan Islam Kedutaan — satu tradisi tahunan yang kini menjadi simbol kasih sayang dan kepedulian pihak kedutaan terhadap rakyat Malaysia yang merantau. 

Setiap senduk bubur yang diagihkan bukan sekadar makanan, tetapi tanda ingatan bahawa mereka tidak pernah dilupakan.

Image
Sumber: Astro AWANI
Penyediadaan dan pengagihan bubur lambuk oleh Badan Kebajikan Islam Kedutaan merupakan satu tradisi tahunan yang kini menjadi simbol kasih sayang dan kepedulian pihak kedutaan terhadap rakyat Malaysia yang merantau. 

Turut memeriahkan suasana ialah sesi berbuka puasa beramai-ramai bersama rakyat Malaysia, komuniti ASEAN serta masyarakat tempatan. 

Dari meja makan ke ruang solat, para tetamu meneruskan malam Ramadan dengan solat sunat terawih berjemaah, menjadikan kedutaan bukan sekadar bangunan diplomatik, tetapi rumah kedua bagi sesiapa yang hadir.

Lebih daripada sekadar acara komuniti, program ini juga, jelas Shahrul Ikram, menjadi ruang penting untuk diplomatic outreach dan global engagement, memperkenalkan budaya dan tradisi Ramadan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa — daripada keunikan juadah hingga nilai kebersamaan yang membentuk identiti rakyat Malaysia.

Di tengah kota Washington yang serba moden, bazar kecil ini membuktikan satu perkara besar: sejauh mana pun kita merantau, semangat Ramadan Malaysia tetap hidup apabila diraikan bersama.

Must Watch Video