KUALA LUMPUR: Usul berkaitan kenyataan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka dibawa pada Mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang malam ini.
Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut dan hanya memaklumkan dipanggil menghadiri mesyuarat di Pejabat Agung Pas.
“Saya akan bawa perkara itu dalam mesyuarat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ditanya mengenai kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional, Khairil berkata semua perkara akan dibincangkan semasa mesyuarat.
“Semua perkara akan dibincangkan dan akan berkongsi kenyataan media seperti lazimnya,” katanya.
Sementara itu Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mengesahkan surat jemputan turut dihantar kepada Ahli Parlimen Parti Wawasan Negara.
“(Jemputan) kepada yang terpilih sahaja,” ujar Fadhli.
Tinjauan Astro AWANI mendapati beberapa pemimpin Pas hadir antaranya Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi bin Salleh (Pasir Putih), Wan Razali Wan Nor (Kuantan), Hassan Saad (Baling), Ahmad Yunus Hairi (Kuala Langat) dan Fadhli Shaari (Pasir Mas).
Pada Selasa, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata parti itu kekal sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) dan akan menggunakan logo tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.
Muhyiddin turut mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kedudukan Bersatu dalam PN akan ditentukan dalam mesyuarat hari ini.
Jelasnya, Bersatu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.