KUALA LUMPUR: Kerjasama ekonomi antara ASEAN dan Rusia masih belum mencapai potensi sebenar meskipun kedua-dua pihak mempunyai peluang besar untuk memperluas hubungan perdagangan, pelaburan dan perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan ekonomi antara ASEAN dan Rusia sememangnya telah lama terjalin, namun masih banyak ruang yang belum diterokai sepenuhnya.
“Forum ini membuka ruang untuk meningkatkan kefahaman antara kedua-dua pihak kerana potensi yang dimiliki amat besar. Rusia dan Tatarstan, misalnya, mempunyai kapasiti ekonomi yang signifikan, namun kelebihannya masih kurang diketahui secara meluas.
“Begitu juga dengan ASEAN. Walaupun hubungan perdagangan dan perniagaan sudah lama terjalin, potensi sebenar kerjasama yang boleh diwujudkan jauh lebih besar daripada pencapaian semasa.
“Kita sering memberi tumpuan kepada rakan perdagangan tradisional seperti Amerika Syarikat, yang merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia, selain China dan India. Namun bagi Rusia, masih terdapat potensi besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya,” ujar beliau ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan pada ASEAN-Russia Business Forum pada Selasa.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menggesa ASEAN memperkukuh kerjasama dengan Rusia sambil menegaskan komitmen rantau itu terhadap keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama, dengan prinsip ASEAN centrality kekal menjadi teras pendekatan dasar luar blok tersebut.
Beliau berkata, ASEAN bukan sahaja perlu meneruskan hubungan dengan Rusia, malah meningkatkan kerjasama sedia ada ke tahap yang lebih tinggi bagi memanfaatkan potensi besar yang masih belum diterokai antara ASEAN, Tatarstan dan Rusia.
Menurutnya, sektor swasta dan komuniti perniagaan perlu memainkan peranan lebih besar dalam merealisasikan potensi tersebut kerana dasar kerajaan semata-mata tidak mencukupi untuk memperkukuh kerjasama ekonomi yang lebih mendalam.
“Kerajaan dan pemimpin negara komited untuk memperluas kerjasama serta memperkukuh hubungan pelbagai hala, namun penyertaan aktif komuniti perniagaan amat penting bagi memastikan potensi itu dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” katanya.