Skip to main content

Politik

Jangan terpengaruh taktik kotor manipulasi poster calon DAP - Teo

KULAI, 13 Jun -- Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Dataran Flat Cengal, Taman Putri, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Teo berkata DAP sentiasa memperjuangkan hak semua kaum di Malaysia, tanpa mengira latar belakang, wilayah, agama atau gender. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan taktik kotor serta penyebaran pembohongan membabitkan manipulasi poster bakal calon DAP bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching mendakwa terdapat pihak sengaja mengubah poster bakal calon DAP Johor dengan menjadikan gambar mereka seperti wanita Muslim bertudung dalam keadaan yang salah.

Teo yang juga Pengerusi DAP Wanita Kebangsaan berkata niat perbuatan itu bertujuan menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina daripada mengundi Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Johor. 

"DAP menghormati semua agama, dan kami faham dan sedar bahawa tudung sebagai sebahagian daripada pakaian Muslimah tidak boleh dipermainkan. Taktik kotor mengubah gambar poster ini ialah perbuatan keji yang perlu ditolak," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata DAP sentiasa memperjuangkan hak semua kaum di Malaysia, tanpa mengira latar belakang, wilayah, agama atau gender.

Sehubungan dengan itu, beliau menyifatkan percubaan pihak lawan untuk memburukkan DAP dengan cara sedemikian bukan sahaja mencerminkan niat jahat mereka, tetapi juga menunjukkan sikap benci kepada wanita.

"Semoga pengundi semua kaum menolak perbuatan ini. Sama-sama kita memilih keharmonian, perpaduan dan keamanan," katanya. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun ini, manakala hari pengundian pula pada 11 Julai selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 1 Jun lepas.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan sebelum pembubaran, Barisan Nasional (BN) menguasai 40 kerusi diikuti PH (12), Perikatan Nasional (tiga), manakala MUDA satu kerusi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement