KUALA LUMPUR: Tafsiran terhadap Perlembagaan Persekutuan yang dibuat berdasarkan sentimen politik, kaum atau agama tanpa mengambil kira kerangka undang-undang dan sejarah pembentukannya, berisiko menimbulkan salah faham serta menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi negara.
Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ts. Mohd Sobhi Ishak berkata, penggunaan sentimen politik, kaum dan agama secara tidak berhati-hati boleh mengubah fungsi Perlembagaan daripada menjadi sumber rujukan bersama kepada simbol atau 'senjata' bagi kelompok tertentu.
“Saya melihat bahayanya kepada Perlembagaan ini apabila sentimen politik, kaum dan agama itu jika ia ditafsir secara tidak berhati-hati, ia akan mengubah Perlembagaan itu sebagai sumber rujukan bersama ini yang kita pegang selama ini.
“Akhirnya apabila kita gunakan politik, kaum dan agama, ia boleh menjadi suatu senjata simbolik kepada kelompok-kelompok ini untuk mengangkat perkara-perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau pada masa sama turut melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan di media sosial untuk memetik sebahagian kecil kandungan Perlembagaan sebelum mengangkatnya sebagai isu yang lebih besar.
“Jadi Perlembagaan itu perlu kita fahamilah, ini rujukan kita daripada dulu hingga sekarang. Generasi sekarang perlu faham.
“Jadi kita kena jelaslah, ada peruntukan-peruntukan yang diperuntukkan dalam seksyen atau perkara tertentu, jadi perlu kita baca dengan ruang-ruang yang lain, bukan dibaca secara tersendiri.
“Ini kadang-kadang saya pun risau juga dengan media sosial kita ini. Dia memetik-metik perkara, sesuatu perkara, dan dia angkat benda itu, highlight sebagai isu.
“Jadi bila ditonton oleh majoriti rakyat, inilah yang menjadi salah tafsiran. Saya gunakan istilahnya manipulasi digital yang mereka cuba momokkan kepada rakyat,” katanya lagi.
Menurutnya, keadaan itu boleh mewujudkan sentimen dan keresahan dalam kalangan masyarakat sehingga tafsiran yang terbentuk dalam masyarakat berbeza daripada tafsiran yang ditentukan melalui undang-undang.
“Ini yang kita bimbang sebab apa, bila kita buaikan masyarakat dengan kefahaman-kefahaman yang silap, masyarakat ini dia menjadi bukan citizen lagi, tetapi netizen yang mempunyai pemikiran yang berbeza dengan Perlembagaan kita.
“Ini bahaya yang kita sebutkan tadilah. Jadi ruang digital ini kita kena ingat, kandungan Perlembagaan itu tidak boleh kita racik-racikkan, permudahkan dalam kefahaman yang biasa kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pakar Perundangan Perlembagaan dan Undang-Undang Awam, Prof Madya Datuk Shamrahayu A. Aziz berkata, dari sudut perundangan, tafsiran paling muktamad terhadap Perlembagaan adalah melalui mahkamah.
Ini kerana jelasnya, pandangan ahli akademik atau individu lain terhadap sesuatu peruntukan Perlembagaan tidak boleh disamakan dengan tafsiran muktamad oleh mahkamah.
“Saya bercakap dulu tentang tafsiran siapa yang akan membuat tafsiran yang paling final, maknanya yang pemutus. Ia adalah mahkamah. Hanya mahkamah yang boleh mentafsir Perlembagaan.
“Siapa saya, saya adalah (ahli) akademik contohnya, bolehkah saya mentafsir Perlembagaan? Itu cadangan tafsiran sahaja.
“Apatah lagi rakan-rakan yang tidak pernah membaca Perlembagaan,” katanya.
Mereka berkata demikian menerusi program Dialog Negara Bangsa dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang membincangkan topik Perlembagaan Persekutuan: Titik Temu Negara Bangsa, yang disiarkan di Astro AWANI, pada Jumaat.
Shamrahayu berkata, lambakan maklumat dalam ruang digital turut mewujudkan cabaran baharu kepada masyarakat untuk mengenal pasti maklumat yang benar dan tepat.
“Tapi saya percaya netizen kita ini dia banyak maklumat dari segi digitalnya, lambakan maklumat, flooded with information.
“Jadi sekarang kita ada masalah untuk memilih maklumat mana yang benar,” katanya lagi.
Justeru, beliau menekankan keperluan setiap warganegara merujuk kepada teks Perlembagaan dan memahami konteks di sebalik sesuatu peruntukan.
Namun, menurutnya, pemahaman terhadap Perlembagaan tidak boleh terhad kepada pembacaan teks semata-mata kerana sesetengah peruntukan mempunyai latar sejarah yang perlu difahami.
“Tapi kadang-kadang Perlembagaan ini dia bagi kata dasar sahaja, asas sahaja. Itu yang saya kata tadi, kalau asasnya, maksudnya Perlembagaan itu ada sejarah dia.
“Jadi kita kena rujuk sejarah. Bagi orang yang tidak mengkaji atau dia hanya membaca, dia kaji dengan baca ini lain kan.
“Orang yang tidak mengkaji sukar untuk dia memahami kedalaman maksud Perlembagaan atau peruntukan Perlembagaan itu,” katanya.