KUALA LUMPUR: Malaysia komited memperkukuh hubungan dua hala dengan Iran, termasuk meneroka peluang baharu dalam bidang perdagangan, kebudayaan dan pendidikan.
Duta Besar Malaysia ke Iran, Datuk Wan Aznainizam Yusri berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus berusaha memperluas kerjasama yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.
“Kami akan terus komited memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Islam Iran, terutamanya dalam menerokai peluang-peluang baharu dalam bidang perdagangan, kebudayaan dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan Hari Malaysia 2026 bersama diaspora Malaysia di Tehran, Iran hari ini.
Menurut Wan Aznainizam, kedutaan juga komited memberikan perkhidmatan konsular terbaik kepada rakyat Malaysia di seluruh Iran.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan diaspora Malaysia yang terdiri daripada golongan profesional, ekspatriat, suri rumah dan pelajar sebagai “duta kecil” serta wajah negara di Iran.
Katanya, profesionalisme, etika kerja dan keperibadian yang ditampilkan komuniti berkenaan mencerminkan imej, maruah serta nilai Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Anda adalah ‘duta kecil’ yang membawa budi bahasa Melayu, ketekunan kerja dan keharmonian budaya kita ke persada antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia di Iran supaya terus bersatu, saling menjaga kebajikan dan mempertahankan identiti nasional meskipun berada jauh dari tanah air.
Menurutnya, perpaduan diaspora bukan sahaja mengukuhkan komuniti Malaysia di Iran, malah menjadikan mereka jambatan persahabatan antara kedua-dua negara.