Seorang lelaki dipercayai warganegara Myanmar ditemui mati dengan kesan kecederaan di badan dan muka dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan rakan senegaranya di bawah Jambatan Tok Bali di sini malam tadi.

Mayat mangsa ditemui sekitar jam 10.30 malam. Mangsa yang belum diketahui identitinya dipercayai berusia sekitar 30-an.

Menurut saksi kejadian, Siti Nor Atikah Mohd Yazid, mangsa dikatakan dipukul oleh dua rakannya di bawah jambatan berkenaan sekitar jam 8.30 malam.

"Mula-mula dia (mangsa) datang beli burger, kemudian dia beredar dan datang semula selepas solat Isyak. Lepas itu berlaku pergaduhan dengan dua suspek, seorang suspek pegang mangsa manakala seorang lagi memukul mangsa bertubi-tubi.

"Ada orang terjumpa mangsa selepas pukul 10 malam tetapi dia sudah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Abdul Rozak Muhamad memaklumkan pihaknya menerima maklumat tentang penemuan mayat berkenaan sekitar jam 10.30 malam.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi megetahui motif kejadian tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk proses bedah siasat.