Skip to main content

Malaysia

Dihempap pokok tumbang: DBKL diperintah bayar ganti rugi lebih RM800,000

71690858962_DBKL.jpg
Hakim memutuskan bahawa pokok yang tumbang itu berada di bawah jagaan DBKL, dan kemalangan sedemikian tidak akan berlaku tanpa unsur kecuaian dalam pemantauan serta penyelenggaraan oleh pihak berkuasa itu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur membayar ganti rugi berjumlah RM824,180 kepada sepasang suami isteri yang anak lelaki mereka maut akibat dihempap pokok tumbang di pembahagi jalan awam di bawah selenggaraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Hakim Effandi Nazila Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan yang difailkan oleh Gooi Ling Sim, 61, dan Phun Kok Hoi, 63, selaku tanggungan kepada mendiang Phun Mun Lap, 30, terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur selaku defendan.

Advertisement

Mahkamah mengarahkan defendan membayar kos pengebumian Mun Lap sebanyak RM26,180, ganti rugi kehilangan tanggungan sebanyak RM768,000 kepada pasangan itu, dan ganti rugi kedukacitaan sebanyak RM30,000.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 9 Mac 2026, Effandi Nazila memutuskan bahawa pokok yang tumbang itu berada di bawah jagaan DBKL, dan kemalangan sedemikian tidak akan berlaku tanpa unsur kecuaian dalam pemantauan serta penyelenggaraan oleh pihak berkuasa itu. 

“Pokok yang tumbang berada di bawah selenggaraan DBKL, oleh itu tanggungjawab DBKL adalah jelas dan kukuh. Pihak defendan juga mengaku pokok yang telah tumbang terlalu besar dan tidak diselenggara sebagaimana sepatutnya,” kata hakim itu. 

Mahkamah turut mendapati DBKL gagal mengemukakan sebarang bukti dokumentari yang menunjukkan kerja penyelenggaraan atau pemantauan seperti memotong, menggunting atau memangkas pernah dilaksanakan terhadap pokok berkenaan.

Selain itu, mahkamah mendapati defendan semasa memberikan keterangan tidak mempertikaikan bahawa pokok berkenaan berada di bawah selenggaraan DBKL, sebagaimana disokong oleh keterangan saksi defendan sendiri.

Hakim juga memutuskan DBKL gagal melaksanakan kewajipan statutori serta tanggungjawab berhati-hati dalam menjalankan kerja penyelenggaraan, pemeriksaan, pencegahan dan kawalan bagi memastikan pokok di pembahagi jalan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya.

“Saksi defendan turut mengakui bahawa DBKL mempunyai kewajipan statutori di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk menyelenggara serta memantau pokok-pokok yang ditanam,” katanya.

Perbicaraan kes itu berlangsung selama dua hari pada Sept 2025, dengan empat saksi plaintif dan defendan dipanggil memberikan keterangan.

Pada 22 Mac 2023, mangsa yang ketika itu sedang menunggang motosikal ke tempat kerja di Jalan Kuching di sini, dihempap sebatang pokok yang tumbang dari pembahagi jalan berhampiran pintu gerbang DBKL, berdekatan Pasar Harian Selayang.

Mangsa yang bekerja sebagai pemandu kren mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2023.  

Kedua-dua ibu bapa mangsa mendakwa bahawa kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian menyeluruh pihak DBKL, termasuk kegagalan memastikan pokok yang ditanam di pembahagi jalan berada dalam keadaan selamat, tidak menjalankan penyelenggaraan serta pemeriksaan berkala dan tidak mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Mereka turut mendakwa DBKL gagal memilih jenis pokok yang sesuai untuk ditanam serta tidak mewujudkan jarak atau zon keselamatan yang mencukupi antara pokok dengan pengguna jalan raya.

Susulan keputusan itu, defendan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video