TATKALA para saintis di serata dunia ‘berlumba’ untuk menghasilkan vaksin pertama pandemik COVID-19, perlumbaan sesama negara bagi membeli vaksin yang berkesan juga turut berjalan dengan rancak.

Pastinya warga dunia tahu, perang menentang musuh halimunan yang bernama COVID-19 di negara masing-masing hanya akan berakhir sekiranya kerajaan negara mereka proaktif dalam perbincangan untuk memperoleh vaksin daripada pembekal.

Berikut senarai negara-negara Islam dan ASEAN yang sudah memulakan proses diplomasi vaksin:

1. Indonesia

Negara jiran serumpun, Indonesia bakal menerima sekitar 300 juta dos vaksin COVID-19 menjelang akhir tahun ini.

Ia susulan lawatan kerja Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dan Menteri Perdagangan Indonesia, Erick Thohir yang bertemu dengan pegawai China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebelum ini, Indonesia sudah bekerjasama dengan syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac Biotech (Sinovac) dalam ujian klinikal fasa ketiga ke atas 1,620 sukarelawan di Bandung, Jawa Barat sejak awal bulan Ogos.

Negara berkenaan juga telah menjalin kerjasama dengan dua syarikat pembekal China iaitu Sinopharm dan CanSino Biologics.

2. Thailand

Kerajaan Thailand sedia membelanjakan Bt600 juta (RM80.04 juta) untuk membeli vaksin COVID-19 yang dibangunkan Universiti Oxford.

Timbalan Menteri Kesihatan Thailand, Sathit Pitutecha berkata, bekas Menteri Kesihatan negara itu Dr Piyasakol Sakolsatayadorn telah menghubungi Oxford berkenaan kemungkinan pembelian tersebut.

Difahamkan negara-negara lain termasuk Korea Selatan juga berusaha untuk melakukan usaha yang sama.

3. Vietnam

Kementerian Kesihatan Vietnam telah mendaftar untuk membeli berjuta-juta dos vaksin COVID-19 Rusia.

Menurut laporan tempatan, Vietnam dilaporkan akan membeli antara 50 hingga 150 juta dos vaksin berkenaan.

Pemangku Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long memberitahu, negaranya sudah menempah vaksin buatan Rusia.

Pada awal Ogos lalu, Rusia mengumumkan berjaya mencipta vaksin pertama virus tersebut, selepas mendakwa mereka sentiasa di hadapan dalam penghasilan vaksin buat bertahun lamanya termasuk vaksin Ebola dan MERS.


Bagaimanapun, wujud persoalan mengenai keupayaan dan keselamatan yang dihasilkan Rusia.

BACA: Vaksin COVID-19 Rusia agak 'luar biasa' - Pakar

4. Bangladesh

Bangladesh telah menandatangani perjanjian dengan Serum Institute of India (SII) untuk mendapatkan akses ke vaksin COVID-19.

Setiausaha Luar India, Harsh Vardhan Shringla ketika di Dhaka, Bangladesh sebelum ini berkata, Bangladesh akan diberikan keutamaan dalam akses kepada vaksin yang dihasilkan India.

Bagaimanapun, perincian mengenai jumlah pelaburan dan jumlah dos yang akan diberikan belum diketahui.

Bagaimana pula dengan Malaysia?

Setakat ini, lebih daripada 160 vaksin berada di pelbagai peringkat ujian dan pembangunan.

Apakah langkah yang diambil kerajaan negara ini bagi mendapatkan vaksin yang berkesan?


Sebelum ini, Malaysia telah menawarkan diri untuk menjadi negara penguji kepada ujian klinikal vaksin yang kini dibangunkan China.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berpandangan negara anggota ASEAN perlu mengutamakan blok serantau berkenaan dalam usaha mendapatkan vaksin COVID-19.

ASEAN perlu mengutamakan diplomasi vaksin kerana tidak ada negara yang akan kembali normal tanpa vaksin bagi mengekang penularan pandemik tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pernah dilaporkan berkata, kerajaan bukan sahaja bergantung kepada China untuk mendapatkan vaksin untuk jangkitan koronavirus tersebut.


Sebaliknya, kerajaan juga, ujar beliau mencari pengeluar vaksin lain yang boleh menghasilkan vaksin yang selamat dan efektif dengan cepat selain pada harga yang paling berpatutan.

Pastinya, kerajaan giat menjalankan perbincangan dengan negara pengeluar vaksin yang boleh membekalkannya kepada Malaysia.

Namun, tiada lagi pengumuman yang dibuat berkenaan persetujuan ataupun pembelian yang dibuat untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Timbulnya persoalan, bila pula giliran Malaysia untuk menjalinkan kerjasama atau membuat tempahan awal daripada pembekal vaksin?

Sekiranya langkah tersebut tidak diambil secepat mungkin, adakah Malaysia akan ketinggalan dalam ‘perlumbaan’ untuk mendapatkan ‘senjata’ yang boleh menumpaskan musuh halimunan itu?