JAKARTA: Kuasa Usaha Hal Ehwal Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia Adlan Mohd Shaffieq menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak lelaki Presiden Joko Widodo, Kaesang Pangarep di Jawa Tengah pada malam Ahad.

Beliau ditemani isteri Nur Nadiah Hidayat pada majlis yang berlangsung di Dewan Besar Khalayak, Istana Mangkunegaran Pura di Jalan Ronggowarsito di Solo.

Adlan dan semua Ketua perwakilan asing lain di Indonesia telah diundang ke majlis itu.

Pada majlis itu, Adlan menyampaikan salam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Joko Widodo dan isteri, Iriana Joko Widodo dan mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin baharu.

Antara tetamu kenamaan lain yang hadir termasuk mantan presiden Megawati Soekarnoputri, Susilo Bambang Yudhoyono, menteri kabinet, VVIP dan selebriti. Turut hadir anak Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Majlis akad nikah anak lelaki ketiga dan bongsu Joko Widodo, Kaesang dengan pasangannya Erina Sofia Gudono telah diadakan di sebuah hotel di Sleman, Yogyakarta, pada Sabtu.

Kaesang, 27, yang aktif di YouTube sejak 2016, dikenali sebagai usahawan muda yang berjaya dalam perniagaan masakan dan Ketua Pegawai Eksekutif Persis Solo Football Club.

Erina, 25, dilahirkan di Pennsylvania, Amerika Syarikat, merupakan lulusan dari Universiti Columbia dan kini bekerja dengan sebuah syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa.

-- BERNAMA