KAMPAR: Penduduk di Kampung Jelutong, Malim Nawar dekat sini gempar apabila melihat seekor beruang matahari di kawasan berkenaan pada Jumaat.

Menurut Mohamad Hanafi Musa, 27, dia mulanya menyangka haiwan liar itu anjing yang merayau-rayau pada jam 12.30 malam.

"Ketika kejadian itu, saya sedang menunggang motosikal sebelum ternampak kelibat seekor haiwan berwarna hitam di tepi jalan.

“Pada  awal saya ingatkan ia anjing liar kerana saiznya yang besar. Kemudian, saya berhenti untuk melihat dengan lebih jelas sebelum menyedari ia adalah seekor beruang ketika ia berada bawah tiang lampu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu. 

Katanya, dia kemudian memanggil beberapa rakan untuk memerhatikan beruang berkenaan, namun ia melarikan diri ke hutan berhampiran. 

"Saya panggil rakan-rakan lain namun jejak beruang itu tidak dapat dikesan. Ia kejadian pertama haiwan itu dilihat berada di kampung ini.

"Perkara ini dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan selepas ini saya akan berhati-hati untuk keluar bekerja di kawasan kampung," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak,  Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Ini adalah laporan kedua yang diterima dalam tempoh dua minggu dan kakitangan Perhilitan telah diaturgerakkan ke lokasi aduan bagi mengesan haiwan terbabit.  Beruang matahari itu dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran," katanya. 

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan itu. 

"Sekiranya ternampak haiwan itu cuba jauh diri dan jaga jarak, jangan cuba tangkap serta tidak membuat provokasi," katanya. 

Pada 2 Februari lalu, seorang pegawai bomba bantuan cedera di tangan kiri selepas digigit seekor beruang matahari ketika cuba menangkap haiwan itu yang tersesat di Kampung Kabu Sepuluh, Selengkoh Tengah dekat Sungai Limau, Kedah.