CALIFORNIA: Awal bulan ini, Carrie Clark dan keluarganya bersedih apabila kucing kesayangan mereka, Galena, hilang secara dari rumah mereka di Utah, Amerika Syarikat.

Pada mulanya, mereka percaya bahawa Galena berjaya menyelinap keluar, tersesat dan tidak dapat mencari jalan pulang.

"Kami sangat bimbang. Kami mencari seluruh kawasan kejiranan, tetapi tidak menemuinya,” kata Clark kepada The Dodo.

Selepas beberapa hari, Clark berkata dia hanya terfikirkan kebarangkalian paling buruk yang boleh terjadi.

"Kami memelihara Galena sejak kecil. Dia berada di sisi saya selama enam tahun. Seluruh keluarga kami berdoa agar Galena ditemui,” katanya.

Seminggu kemudian, doa keluarga itu akhirnya dimakbulkan. Galena telah ditemui, namun bukan di tempat yang terlintas dalam fikiran mereka.

Pada hari yang sama Galena hilang, suami Clark sedang membungkuskan sebuah kotak besar yang mengandungi beberapa pasang but yang dipesan dari Amazon, untuk dipulangkan.

Tanpa disedari, Galena masuk ke dalam kotak itu, dan secara tidak sengaja 'dipos' bersama kasut-kasut berkenaan.

Enam hari selepas hilang, Galena ditemui 1,046 kilometer dari rumahnya, di dalam kotak di fasiliti pemprosesan Amazon di California.

Seorang pekerja gudang bernama Brandy Hunter adalah individu yang menemui Galena dan kemudian membawanya ke doktor haiwan.

Hampir seminggu dalam kotak dihantar dengan trak merentasi beberapa negeri, Galena disahkan sihat walaupun dalam keadaan terkejut dan keliru. Si comel itu juga dipasang dengan cip mikro, memudahkan keluarganya dijejaki dan dihubungi.

Kepada pemilik haiwan peliharaan, ini pesan Clark.

"Sila pertimbangkan untuk meletakkan cip mikro pada haiwan kesayangan anda dan sentiasalah menyemak kotak yang anda ingin pos."