KLANG: Setiap kali menjelang musim perayaan, pemilik haiwan peliharaan terutamanya kucing pastinya sibuk menyiapkan keperluan untuk si comel kesayangan.

Bagi yang memilih untuk tidak menghantar haiwan peliharaan ke hotel kucing, persiapan pulang ke kampung harus dilakukan, terutama dalam aspek menyediakan mereka untuk perjalanan jauh dan persekitaran baharu.

Isyarina Ishak, pemilik Cats Hometown yang merupakan sebuah pusat sehenti bagi penjagaan kucing di Klang berkata, aspek persiapan kucing juga harus menitikberatkan kepada keadaan kucing selepas kembali pulang ke rumah, pasca hari raya.

Ini kerana, kucing adalah haiwan yang mempunyai rutin dan sebarang gangguan pada rutin boleh menyebabkan tekanan, sekali gus menjejaskan kesihatan.

"Lepas balik dari boarding, kucing mungkin akan alami masalah kesihatan sebab kucing ialah haiwan yang ada rutin. Apabila rutin terganggu, fizikal dan mental dia juga akan terganggu, dari situ timbul masalah seperti sakit dan tak lalu makan.

"Pemilik dinasihatkan peka dengan perubahan pada kucing. Pastikan selera makan dan sikapnya tidak berubah.

"Kalau bawa balik ke kampung pula, kena peka supaya kucing tak tertekan dalam perjalanan dan boleh adaptasi dengan suasana baharu di kampung," katanya ketika ditemui baru-baru ini di kedai miliknya, di sini.

Tambahnya, adalah penting untuk pemilik memahami haiwan kesayangan mereka dalam membuat persediaan untuk hari raya kerana kucing yang dipelihara mempunyai keperluan yang berbeza dengan kucing jalanan.

Cats Hometown di Klang tidak putus terima pelanggan pada musim Aidilfitri.

"Sebagai pemilik, kita kena faham kucing jalanan di luar dan kucing yang dibela berbeza, terutama dari segi ketahanan dan imuniti. Sebab itu kucing jalanan apabila sakit, ia cepat pulih. Tapi kucing yang dibela tidak, kena dibawa menerima rawatan dan ada kalanya ambil masa lama untuk pulih.

"Jadi harus sentiasa ambil tahu keperluan kucing, apa jenis makanan dan diet serta sikapnya," katanya yang juga seorang penasihat pemakanan haiwan peliharaan.

Sementara itu, menyentuh tentang trend hari raya, Isyarina memaklumkan dia agak terkejut apabila menerima permintaan yang tinggi untuk pakaian hari raya si bulus, berbanding tahun lalu.

Terdapat pelbagai jenis pakaian raya dijual di kedainya dengan pelbagai saiz untuk digayakan si comel di pagi raya, termasuk baju Melayu cekak musang, baju Melayu teluk belanga dan baju kurung.

"Sambutan luar biasa untuk baju raya anak bulus sehingga kami terpaksa hubungi tukang jahit beberapa kali untuk tempahan. Warna paling popular tahun ini tentu sekali warna viral, brick orange.

"Selain itu, turut menerima sambutan ialah kelengkapan lain seperti pet carrier serta feeder automatik dengan CCTV yang membolehkan pemilik monitor dan bercakap dengan kucing sepanjang ketiadaan mereka," katanya lagi.