KUALA LUMPUR: Diskaun 20 peratus untuk tambang perkhidmatan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway (BRT) yang diperkenalkan pada 2018 berakhir hari ini, menurut Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu diambil memandangkan rakyat Malaysia kini menikmati kemudahan pas perjalanan tanpa had My30 yang diperkenalkan Jun tahun lepas, dengan penjimatan jauh lebih besar.

“Dengan My30, warganegara Malaysia boleh mengggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL - Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan semua perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL termasuk BRT dan bas perantara Jom Naik MRT tanpa had, dengan hanya berbelanja RM30 untuk tempoh 30 hari,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif potongan tambang 20 peratus berkenalkan diperkenalkan Prasarana bertujuan menghargai pelanggan, di samping memberi galakan kepada penumpang untuk terus menyokong perkhidmatan pengangkutan awam.

-- BERNAMA