KUALA LUMPUR: Kemudahan dan aset ketenteraan disyaki menjadi sasaran sindiket penyeludupan dadah dalam cubaan membawa masuk 96.6 kilogram bahan disyaki dadah melalui Pangkalan Udara Subang.
Perkara itu terbongkar selepas petugas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan beberapa bagasi mencurigakan di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang, pada 17 November lalu.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas oleh anggota Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU) menemukan beberapa bungkusan mencurigakan yang disusun kemas di dalam bagasi terbabit.
“Susulan penemuan itu, TUDM bertindak pantas menahan individu yang disyaki terlibat sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
“Setakat ini, lima pegawai dan dua anggota TUDM telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“TUDM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga pasukan yang terlibat dalam penyeludupan atau pengedaran dadah, khususnya yang membabitkan penggunaan pesawat dan aset ketenteraan,” menurut satu kenyataan, hari ini.
Menurut TUDM, tindakan pengesanan awal, penahanan serta penyerahan individu disyaki kepada pihak polis mencerminkan komitmen pasukan itu untuk memastikan aset ketenteraan tidak disalahgunakan bagi tujuan jenayah.
Siasatan kini diteruskan bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang ditahan serta sejauh mana rangkaian penyeludupan berkenaan mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan.
TUDM turut memberi kerjasama penuh kepada PDRM bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.