JOHOR BAHRU: Sebanyak 367 aduan diterima polis Johor berkaitan kes pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel lelaki 'kesunyian' berusia 20 hingga 40-an.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sehingga kini 144 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM500,000 sehingga RM1 juta.

Menurutnya, taktik sindiket adalah dengan menyamar sebagai wanita menerusi aplikasi media sosial dan ingin mencari kenalan baharu.

Selain itu kegiatan yang aktif sejak awal tahun lalu itu berjaya memperdaya mangsa yang kebanyakannya lelaki.

"Mereka menyamar sebagai perempuan dan membuat mangsa sampai berbogel dan dirakam bagi digunakan sindiket untuk mengugut mangsa, jika tidak beri wang dia akan sebarkan video ini.

"Mangsa telah membuat laporan polis dan kita berjaya menumpaskan sindiket ini dengan menangkap ahli sindiket di sekitar Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Susulan itu, tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing yang terlibat dalam sindiket, ditahan menerusi operasi Op Bugil yang dilancarkan di sekitar Pulau Pinang, Selangor dan Johor, baru- baru ini.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 250 unit mesin melombong bitcoin dirampas hasil serbuan ke atas tiga premis berasingan sekitar bandar raya Johor Bahru antara 6 hingga 8 Februari lalu.

Menurut Kamarul Zaman, lima lelaki tempatan dan seorang wanita  berusia antara 40 hingga 52 tahun, turut diberkas dalam serbuan berkenaan.

"Selain daripada kerugian pihak TNB, ini juga akan menjejaskan keselamatan warga yang ada berdekatan kerana mereka menggunakan arus eletrik yang tinggi di luar kawalan.

"Ini akan menyebabkan kebakaran dan seluruh taman tidak ada arus elektrik. Alhamdulilah melihat tahun lepas sahaja sebanyak 1,746 mesin bitcoin bernilai 2.6 juta dirampas," jelasnya.

Katanya lagi, penggunaan bekalan elektrik tanpa rekod itu menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian kira-kira RM390,582.

Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.