Skip to main content

Malaysia

DKU Negeri Sembilan fail prosiding hina mahkamah terhadap enam individu kerana mengelak terima dokumen

SEREMBAN, July 28 -- The Negeri Sembilan Royal Council (DKU) and its secretary, Raja Norazli Raja Nordin, have initiated further contempt proceedings against six individuals for allegedly evading service of court papers after leave to commence committal proceedings was granted on July 8.  Lawyer Steven Thiru, representing the DKU and Raja Norazli, informed High Court Judge Roz Mawar Rozain of the latest application during proceedings today.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED  SEREMBAN, 28 Julai -- Dew
permohonan itu difailkan pagi ini selepas berulang kali untuk menyampaikan dokumen kausa berkaitan prosiding komital terdahulu kepada enam individu berkenaan gagal.  - Foto Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dan Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap enam individu kerana didakwa mengelak daripada menerima dokumen mahkamah selepas kebenaran untuk memulakan prosiding komital diberikan pada 8 Julai.

Peguam Steven Thiru yang mewakili DKU dan Raja Norazli memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain mengenai permohonan itu semasa prosiding hari ini.

Beliau berkata permohonan itu difailkan pagi ini selepas  berulang kali untuk menyampaikan dokumen kausa berkaitan prosiding komital terdahulu kepada enam individu berkenaan gagal.  

Enam individu terbabit ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Mahkamah dijadual mendengar prosiding komital yang difailkan oleh DKU dan Raja Norazli terhadap keenam-enam individu itu hari ini.

Bagaimanapun, prosiding itu ditangguhkan selepas peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili keenam-enam individu berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan untuk menangguhkan prosiding komital telah difailkan semalam.

“Permohonan penangguhan itu akan didengar oleh Mahkamah Rayuan esok. Oleh itu, kami memohon supaya pendengaran hari ini ditangguhkan,” katanya.

Hakim Roz Mawar kemudian menangguhkan prosiding itu kepada 28 Sept depan memandangkan tiada bantahan oleh pihak-pihak lain terhadap permohonan berkenaan. 

Pada 8 Julai, Hakim Roz Mawar membenarkan DKU dan Raja Norazli memulakan prosiding komital terhadap enam individu itu kerana didakwa melanggar perintah injunksi ad interim.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati pemohon telah berjaya membuktikan kes prima facie bagi memulakan prosiding komital, iaitu mekanisme perundangan untuk menghukum perbuatan menghina mahkamah.

Perintah injunksi ad interim itu dikeluarkan dalam kes saman yang difailkan berhubung pelantikan Yang Dipertuan Besar. Enam individu tersebut didakwa melanggar perintah mahkamah berkenaan.

Mahkamah turut menolak permohonan keenam-enam individu untuk menangguhkan prosiding komital sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan itu. Mahkamah kemudian menetapkan hari ini (28 Julai) sebagai pendengaran bagi prosiding komital.

Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lepas apabila Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lepas.

Antara lain, kandungan minit mesyuarat itu adalah berkaitan keputusan untuk melucutkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Pada 5 Jun lepas, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi ad interim dalam saman pemula bagi mengekalkan status quo, khususnya komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai setiausahanya, sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung isu bidang kuasa serta pertikaian yang boleh diadili, dan sehingga perintah mahkamah selanjutnya.

Bagaimanapun, Raja Norazli mendakwa meskipun perintah injunksi ad interim telah dikeluarkan, laporan media pada hari sama menyatakan bahawa plaintif, terutama Maarof, telah terlibat dalam pelantikan Yang Dipertuan Besar di bawah Perkara 11 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959.

Beliau mendakwa pelantikan itu dibuat dengan mengetepikan perintah mahkamah.

Dakwaan pelanggaran ini menyebabkan Raja Norazli dan DKU memohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap keenam-enam individu kerana menghina mahkamah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement