Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua jemaah haji agar sentiasa mengikut nasihat dan panduan pemakanan yang disarankan Tabung Haji serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini bagi memastikan fizikal dan mental setiap jemaah haji berada dalam keadaan terbaik dalam melaksanakan ibadah haji.

“Tuan-tuan dan puan-puan perlu berulang-alik ke masjid selain tawaf, sa’ie, melontar dan lain-lain ibadat sunat. Untuk semua ini tubuh badan yang sihat dan cergas diperlukan.

“Saya ingin pesan supaya ikut segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan supaya tahap kesihatan sentiasa baik agar dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna," ujarnya ketika berucap di hadapan 483 jemaah haji dalam Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia di Movenpick, di sini pada Ahad.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bergambar bersama para bakal haji semasa majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji hari ini. - Foto Bernama

Tambah Dr Mahathir, jemaah haji juga perlu lebih banyak bersabar, bertoleransi dan prihatin dalam beribadah tanpa mengira warna kulit.

Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir turut memohon jemaah untuk terus mendoakan Malaysia terus aman dan sejahtera.

“Semasa di Tanah Suci nanti, doakanlah agar negara kita Malaysia terus aman dan sejahtera kerana hanya dengan keamanan, kita semua dapat melaksanakan ibadat menurut syariat yang dituntut oleh Allah SWT dengan tenang tanpa rasa bimbang atau takut,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf.