SEREMBAN: Seorang doktor lelaki ditahan semalam selepas disyaki mencabul seorang pekerjanya di sebuah klinik swasta di Bandar Seri Jempol di sini, dalam kejadian pada 24 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata doktor berusia 36 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada wanita yang berusia 24 tahun kira-kira pukul 6 petang, Rabu lepas.

"Siasatan mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu di klinik itu sejak sebulan lepas dicabul ketika berada di bilik rehat selepas waktu bekerja dan ia merupakan kejadian kedua berlaku terhadapnya dengan yang pertama pada 19 Feb lepas.

"Kejadian berkenaan menyebabkan mangsa mengalami trauma. Dia kemudian mengadu kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis.

"Keterangan beberapa saksi diambil untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hoo berkata suspek yang juga pemilik klinik itu direman tiga hari sehingga 3 Mac ini dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

-- BERNAMA