KUALA LUMPUR: Masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli barangan kosmetik walaupun ada sesetengah penjual berkongsikan pelbagai data dan kajian mengenai produk mereka.

Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata, walaupun mereka berkongsi hasil kajian namun kadangkala tidak dapat dipastikan dari mana sumber data berkenaan.

Menurutnya, masyarakat perlu lebih peka dengan keadaan itu kerana lazimnya apabila maklumat sebegitu dikongsikan, ia mampu mempengaruhi pembeli untuk mendapatkan produk mereka.

BACA: Gelaran doktor untuk pengesyoran kosmetik dilarang - Dr Noor Azmi

Justeru, katanya, pengetahuan masyarakat perlu diperkasa kerana sehingga kini, promosi barangan kosmetik sudah semakin maju, namun pengetahuan masyarakat masih lagi rendah.

“Sebagai contoh, kalau nak lihat produk itu, tak semestinya kita lihat daripada pakar yang iklankan produk ini kalau boleh kita elakkan kerana ada peraturan khusus yang tidak membenarkan gelaran profesional digunakan.

“Jadi gunalah nama yang asal, jangan kita letak gelaran profesional itu dengan menjual produk. Kita perlu didik pengguna untuk tengok label, logo pendaftaran dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), semak tarikh luput, bahan aktif yang digunakan.

Dewan Rakyat | Doktor tak dibenarkan dalam pengiklanan kosmetik

“Saya yakin kita perlu memberitahu kepada masyarakat ada talian informasi yang mana masyarakat perlu sentiasa rapat dan hubungi talian informasi ini.

“Selain itu, rujuklah kepada pengamal perubatan sekiranya ada sebarang pertanyaan atau kemusykilan tentang produk kosmetik yang mereka ingin gunakan,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Isnin.

Katanya lagi, masyarakat dinasihatkan tidak terpedaya dengan gelaran pakar perubatan yang digunakan kerana beberapa akta dengan jelas penggunaan gelaran sebegitu perlu diperhalusi dalam penjualan barangan kosmetik.

KKM buat ceramah, pemantauan istiqamah terhadap produk kosmetik

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, penggunaan gelaran profesional seperti doktor untuk pengesyoran kosmetik adalah tidak dibenarkan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, arahan itu adalah berdasarkan Guideline for Cosmetic Advertisement yang dikeluarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Jelasnya lagi, penggunaan gelaran tersebut, secara tidak langsung memberi tanggapan bahawa individu tersebut telah memberi nasihat profesional dan pengesahan kepada kosmetik terlibat.