KUALA LUMPUR: Doktor-doktor dari negeri lain akan digerakkan ke Selangor untuk membantu situasi COVID-19 di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, ia bantuan barisan hadapan dan penting kepada negeri yang kritikal.

"Kita memahami apabila kes meningkat, ia memerlukan pengorbanan daripada petugas barisan hadapan.

"Jadi, apa yang kita buat sekarang adalah memobilisasi kakitangan dari negeri lain ke Selangor untuk membantu situasi kritikal namun ia penting untuk petugas ini sebagai pertahanan terakhir," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kata Dr Noor Hisham, kerajaan kini memberikan pendaftaran bersyarat kepada syarikat vaksin berkenaan jika ada cadangan untuk kelulusan melakukan campuran berkenaan.

"Sekarang syarikat AstraZeneca atau Pfizer tidak menghantar data tersebut, jadi kita masih memerhatikan keadaan ini dan kaji kalau ada keperluan tersebut kita laksanakan.

BACA: Pasukan Bertindak Khas GKV tumpu 4 strategi tangani peningkatan kes Lembah Klang

"Sekarang kita rasa tiada keperluan lagi terutamanya kalau kita campurkan vaksin barat dengan timur, iaitu vaksin AstraZeneca, Pfizer dengan Sinovac, kita tidak ada bukti langsung kesannya berjaya ataupun tidak," ujarnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi nasihat agar tidak mencampur dan memadankan vaksin COVID-19 daripada pengeluar yang berbeza.