Skip to main content

Malaysia

Doktrin pertahanan negara perlu berubah seiring perkembangan teknologi - Agong

Sumber: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Seri Paduka Baginda bertitah transformasi strategik ATM perlu dilaksanakan selaras dengan konsep 'Angkatan Masa Hadapan', yang berupaya mendepani cabaran peperangan generasi kelima atau 'Fifth Generation Warfare' - Foto Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah doktrin pertahanan negara perlu berubah seiring dengan perkembangan teknologi bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menghadapi landskap keselamatan global yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Seri Paduka Baginda bertitah transformasi strategik ATM perlu dilaksanakan selaras dengan konsep 'Angkatan Masa Hadapan', yang berupaya mendepani cabaran peperangan generasi kelima (Fifth Generation Warfare).

“Persekitaran keselamatan global dan serantau sedang mengalami perubahan pesat, kompleks dan tidak menentu.

“Angkatan masa hadapan yang bakal dibentuk hendaklah merupakan sebuah angkatan yang bersepadu dan berupaya menghadapi 'Fifth Generation Warfare'.

“Oleh itu, saya menyeru kerajaan supaya memberi keutamaan kepada perolehan aset dan peralatan berteknologi terkini serta menyokong struktur baharu ATM,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Seramai 566 pegawai kadet berjaya menamatkan latihan dan menerima watikah tauliah pada istiadat berkenaan.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah setiap perubahan yang dilaksanakan dalam ATM hendaklah membawa pembaharuan ke arah yang lebih baik dan bukannya satu langkah ke belakang.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru kerajaan supaya memberi keutamaan kepada perolehan aset dan peralatan berteknologi terkini serta menyokong struktur baharu ATM bagi membentuk sebuah angkatan yang bersepadu dan berupaya menghadapi cabaran peperangan generasi kelima.

Baginda turut mengingatkan pegawai kadet yang ditauliahkan bahawa kerjaya sebagai pegawai tentera menuntut kekuatan fizikal, ketajaman fikiran, disiplin serta semangat pengorbanan yang tinggi.

“Saudara dan saudari hendaklah memimpin dengan bijaksana, adil dan menjadi contoh yang baik kepada anggota bawahan. Ingat, 'There are no bad soldiers, only bad leaders'.

“Awak semua adalah tonggak Angkatan Masa Hadapan. Oleh itu, jangan sekali-kali makan rasuah, malas bekerja atau meletakkan kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada kepentingan tanah air,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang telah berkorban demi memastikan anak-anak mereka berjaya menjadi pegawai ATM, selain berterima kasih kepada para jurulatih yang telah mendidik dan melahirkan bakal wira negara.

Selain itu, baginda mendoakan agar Malaysia terus dikurniakan rahmat dan keberkatan serta kekal aman, maju dan makmur sebelum memperkenankan pentauliahan 566 pegawai kadet sebagai pegawai ATM.

 

 

Must Watch Video

Advertisement