Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Antarabangsa Jepun (IUJ) atas usaha dan sumbangan besar beliau dalam hubungan dua hala Malaysia-Jepun.

Anugerah itu disampaikan Presiden IUJ Hiroyuki Itami pada satu majlis di Hotel Nikko Fukuoka di sini pada Rabu.

Penganugerahan itu diberikan berdasarkan impak besar yang terhasil daripada Dasar Pandang ke Timur yang diketengahkan Perdana Menteri terhadap bidang pendidikan di Jepun serta negara-negara ASEAN lain.

November tahun lalu, Dr Mahathir turut menerima Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Tsukuba, Tokyo.

Dalam ucapannya, Itami berkata, IUJ telah mendidik lebih dari 20 pelajar Malaysia yang dihantar oleh kerajaan Malaysia sejak 1990-an.

“Apabila pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajian dari universiti atau menamatkan program mereka di syarikat-syarikat di Jepun, pelajar Malaysia telah memainkan peranan aktif dan utama dalam membangun Malaysia dan sebagai jambatan antara Jepun dan Malaysia," katanya.

BACA: Tun M pelawa universiti Jepun buka cawangan pertama di Malaysia

Itami juga berharap hubungan dua hala yang lebih kuat antara Jepun dan Malaysia akan diteruskan di bawah Dasar Pandang Ke Timur dalam era baharu.

"Kami percaya bahawa IUJ akan memainkan peranan penting dalam Dasar Pandang Ke Timur Dr Mahathir dan dalam memperkukuhkan hubungan antara Jepun dan Malaysia," kata Itami.


IUJ telah melancarkan Program Pembangunan Global Jepun (JGDP) tahun lalu, yang menawarkan peluang pembelajaran kepada pemimpin-pemimpin terkemuka dari Jepun, Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Ia bagi mempelajari pengalaman Jepun dalam ekonomi dan pembangunan masyarakat sejak pemulihan Meiji.

"IUJ menyambut baik pelajar dari Malaysia menyertai JGDP," katanya.