KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Kementerian Pertahanan mengarahkan dua syarikat pembekal senjata – Lockheed Martin dan BAE Systems – untuk segera keluar dari negara ini.

Dalam catatan terbaharu di laman media sosialnya, beliau berkata kedua-dua syarikat tersebut hadir ke negara ini untuk menyertai pameran Pameran Defence and Service Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2024 di ibu negara.

Tegasnya lagi, Lockheed Martin dan BAE Systems merupakan pembekal senjata terbesar kepada rejim Zionis yang melakukan serangan dan pengeboman ke atas rakyat Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu.


“Kehadiran mereka ke Malaysia ketika ini di atas anjuran DSA dan NATSEC Asia 2024 dengan kerjasama Kementerian Pertahanan adalah sesuatu yang amat menjengkelkan dan penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin dan dukungan rakyat Malaysia yang menentang genocide yang sedang dilakukan di Gaza.

“Memang benar mereka pernah hadir di dalam anjuran-anjuran terdahulu. Tetapi keadaan kali ini amat luar biasa dan genocide Zionis terhadap Palestin begitu kejam dan tanpa sedikit pun perikemanusiaan,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, membenarkan syarikat-syarikat sedemikian memperolok dan mempersenda segala usaha negara menentang kekejaman rejim Tel Aviv seolah bersekongkol dengan mereka untuk menumpah darah rakyat Palestin termasuk bayi dan kanak-kanak.

Tambah beliau, cadangan tindakan pengusiran itu turut terpakai kepada syarikat lain yang membekal senjata kepada rejim Zionis.

“Mereka perlu tahu bahawa tidak ada tempat di Malaysia untuk mana-mana pihak yang menyokong atau bersubahat dengan Israel melakukan genocide ke atas orang Palestin,” katanya lagi.