KUALA TERENGGANU: Dua bangkai penyu Agar ditemukan terdampar di pesisir Pantai Batu Burok, di sini dan Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus hari ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata kedua-dua haiwan yang dianggarkan berusia lebih kurang 20 tahun itu bersaiz panjang kira-kira 1.3 meter dan lebar sekitar 0.65 meter.

"Ciri-ciri fizikal kedua-dua bangkai penyu yang dijumpai hari ini adalah lebih kurang sama dan berat kedua-duanya kira-kira 40 hingga 50 kilogram serta kedua-duanya dipercayai jantan," katanya ketika ditemui Bernama di Pantai Batu Burok di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua bangkai itu telah ditanam di kawasan berhampiran ia dijumpai.

Ruzaidi berkata penemuan dua bangkai penyu itu menjadikan sejak bulan ini sebanyak lima kes kematian haiwan spesies tersebut direkodkan termasuk di Pantai Penunjuk, Kijal dekat Kemaman pada 3 Jan dan Pelabuhan Chendering di sini, Rabu lepas.

BACA: Anak penyu Agar ditemukan mati termakan plastik di Marang

Semalam pihaknya menerima kes seekor anak penyu Agar ditemukan mati dipercayai akibat termakan plastik di Pantai Pulau Kerengga di Marang.

Katanya kedua-dua penyu yang ditemukan hari ini dipercayai mati akibat lemas ekoran tersangkut pada pukat tunda.

Justeru, Ruzaidi menyeru semua pengusaha pukat tunda supaya memasang peranti penyisih penyu pada peralatan mereka seperti yang ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia sebagai syarat untuk mereka mengendalikan pukat tunda.

Selain itu orang ramai juga digesa supaya tidak membuang sampah dan sisa plastik makanan di kawasan pantai kerana penyu akan mudah termakan sisa plastik yang seterusnya memberi ancaman kepada spesies itu.

Ruzaidi berkata sepanjang tahun lepas sebanyak 51 kes kematian penyu dicatatkan pihaknya dengan majoriti melibatkan spesies penyu Agar.

"Di samping itu kita tidak menolak kemungkinan terdapat unsur pengkhianatan ke atas penyu memandangkan tahun lepas ada bangkai penyu ditemukan dengan bahagian cengkerangnya telah dibelah," katanya.

Ruzaidi turut menyeru orang ramai supaya segera menghubungi hotline 'Fishcom' di talian 03-88885019 atau 03-88704058 yang beroperasi 24 jam sekiranya menemukan penyu hidup atau mati terdampar di pantai.

-- BERNAMA