Dua bekas kakitangan Majlis Pengakap Negeri Melaka (MPNM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang sewaan bangunan bernilai kira-kira RM50,000 sejak lima tahun lalu.

Difahamkan, kedua-dua suspek berusia 50-an dan 30-an itu ditahan di pejabat SPRM Melaka di Alai, dekat sini, pada jam 6.30 petang Isnin selepas tampil untuk memberi keterangan.

Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Selasa untuk mendapatkan perintah tahanan reman sebelum direman selama tiga hari.

Sumber berkata, kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan wang sewaan bangunan MPNM sejak 2015 hingga 2019.

Pengarah SPRM Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan penahanan reman kedua-dua suspek tersebut.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.