IPOH: Dua beradik lelaki dipercayai ahli kumpulan samun dikenali 'Geng Bulat', dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata pada bulan lepas.

Ahmad Fazrin Naharoddin, 31, yang berbalut tangan kirinya dan Mohamad Hafiz, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan terhadap harta milik S. Sarala, 36, iaitu wang tunai RM200 dan semasa melakukan rompakan mereka bersenjatakan sebilah pisau di KK Hanans Cash and Carry di Desa Rishah Indah di sini, pada 3.35 petang, 12 Okt lepas.

Pertuduhan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat dan jika bersenjata hendaklah dikenakan sebat selain hukuman yang boleh dikenakan di bawah seksyen lain jika sabit kesalahan.

Kedua-dua lelaki itu turut didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas S. Latchemee, 50, dengan mencuri telefon bimbit jenama Samsung Note 3 dan jenama Oppo, sebentuk cincin emas, beg tangan mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit, kad bank, wang tunai kira-kira RM200 dan sepasang subang emas dengan bersenjatakan sebilah parang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai ESP Computer Network, Desa Rishah Menglembu di sini pada 11.30 pagi 23 Okt lepas dan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Ahmad Fazrin juga mengaku tidak bersalah dan minta bicarakan atas tiga lagi pertuduhan ke atasnya, iaitu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompak berkumpulan dengan bersenjatakan pisau di tiga lokasi berbeza sekitar daerah Ipoh, antara 9 malam 5 Okt hingga 6.30 petang 17 Okt lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan itu di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama jika sabit kesalahan.

Di mahkamah berasingan, Ahmad Fazrin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah rumah di alamat No 10 Persiaran Pengkalan Barat 1, Taman Mei Kin Pasir Puteh di sini antara 8.30 pagi hingga 1.30 petang 20 Okt lepas, yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan dikenakan denda, serta dilanjutkan penjara hingga 14 tahun jika kesalahan dimaksud kesalahan mencuri.



MAHKAMAH-SAMUN 3 IPOH



Mohamad Hafiz pula kemudian didakwa di Mahkamah Majistret itu atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin 34.87 gram di tepi jalan Rapat Baru di sini, pada 4.45 petang 23 Okt lepas.

Pendakwaan itu dikemukakan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama (Akta 234) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dia turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas satu lagi pertuduhan iaitu mencuri satu tabung derma milik masjid dan madrasah di Kedai Santan Segar Manjoi di sini, pada 11.15 pagi 14 Sept lepas.

Selain itu, Mohamad Hafiz juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri bekas berisi duit syiling anggaran RM500 di kedai No 11, Laluan Rasi Jaya 4B, Taman Rasi Jaya, Menglembu di sini pada 4.28 petang 17 Okt lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian boleh dipenjara dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.



MAHKAMAH-SAMUN 4 (AKHIR) IPOH



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj, Qurratu'aini Khalifah, Noor Nabilah Norzam dan Nurul Hidayu Zakaria, manakala kedua-dua tertuduh yang tidak bekerja dan belum berkahwin itu, diwakili peguam R. R. Segaran.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM27,500 ke atas Ahmad Fazrin bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala tiada jaminan dibenarkan ke atas Mohamad Hafiz serta menetapkan 11 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula semua kes berkenaan.

Pada 23 Okt lepas, polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai melakukan cubaan bunuh ke atas seorang anggota polis yang sedang bertugas, apabila diseret kereta dipandu suspek kes samun itu yang mahu melarikan diri dalam kejadian di Kampung Gajah.

Pasukan polis sebelum itu dilaporkan mengekori suspek dari Ipoh menghala ke Kampung Gajah selepas menerima maklumat kejadian samun bersenjatakan parang dan mereka bertindak memecut kenderaan jenis Perodua Myvi, apabila menyedari diekori sebelum dapat ditahan berhampiran sebuah masjid di Labu Kubong.

-- BERNAMA