IPOH: Dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret berasingan di Ipoh pada Jumaat kerana melakukan ugutan bunuh dan menyebabkan kecederan terhadap seorang wanita, minggu lalu.

Tertuduh, S. Gunasilan, 35, dan kakaknya, S. Eswari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab dan Majistret Khir Nizam Jemari.

Di hadapan Majistret Nur Melati Diana, Gunasilan didakwa telah melakukan ugutan jenayah untuk menakutkan wanita berusia 38 tahun itu dengan mengugut untuk membunuhnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran Khalisa, Jalan Raja Perempuan Mazwin di sini pada pukul 3.10 petang, 5 Oktober 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Khir Nizam, Eswari didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap wanita sama yang juga merupakan bekas majikannya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan ke atas dua beradik itu masing-masing dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar dan Amalina Harun manakala Gunasilan diwakili peguam Mohd. Khazali Yin dan Eswari pula diwakili Mahinderjit Singh.

Mahkamah membenarkan Gunasilan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin manakala kakaknya pula sebanyak RM1,500 selain syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati mangsa.

Tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes berkenaan ialah pada 21 dan 29 Nomber ini.