NATIONAL
Dua beradik maut: Nanta jumpa syarikat konsesi esok

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika sidang media pada majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) di Kompleks Kementerian Kerja Raya hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan berjumpa wakil syarikat konsesi esok, susulan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dua pelajar adik-beradik di Kluang, Johor baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Menteri Kerja Raya akan berjumpa wakil syarikat konsesi susulan kemalangan yang mengakibatkan kematian dua pelajar di Kluang, Johor, dan mengarahkan tindakan segera membaik pulih jalan terlibat.
- Pihak berkuasa dan kontraktor diingatkan untuk tidak mengambil jalan pintas dalam projek infrastruktur bagi mengelakkan kemalangan dan memastikan kualiti jalan dan jambatan.
- Enam kontraktor menerima SST untuk melaksanakan projek infrastruktur jalan raya dan jambatan dengan kos kira-kira RM174.46 juta, termasuk projek menaik aras Jalan Kota Tinggi-Mersing.
"... jadi kita lihat apa yang kita boleh buat selain daripada kita tegur, semestinya kita ikut perjanjian, tak boleh ditamatkan serta-merta (kontrak dengan syarikat konsesi)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa Projek di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan dan SST itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail.
Dalam kemalangan Jumaat lepas, dua beradik berumur 17 dan 16 tahun maut, selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Nanta dalam ucapan di majlis itu mengingatkan semua pihak terutama kontraktor yang terlibat dalam projek infrastruktur rakyat untuk tidak mengambil jalan pintas sehingga menjejaskan kualiti jalan dan jambatan dan menyebabkan kemalangan.
Beliau berkata semua pihak termasuk KKR, JKR dan kontraktor perlu mengambil iktibar daripada insiden itu bagi memastikan ia tidak berulang.
"Peristiwa ini amat menyedihkan dan tentunya memberi impak negatif kepada kementerian setelah ia tersebar luas di media sosial dan media arus perdana...laksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
"Tuan-tuan (kontraktor) tidak hanya membina jalan dan jambatan tetapi membina kehidupan dan masa depan negara. Kegagalan kita mengikut spesifikasi dan standard atau mengambil jalan pintas (cut-corners) boleh menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa sekali gus menjejaskan imej negara," katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan enam kontraktor menerima SST bagi melaksanakan projek infrastruktur jalan raya dan jambatan di bawah dua kementerian iaitu KKR dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), melibatkan kos kira-kira RM174.46 juta.
Antaranya projek menaik aras Jalan Kota Tinggi-Mersing, Kota Tinggi, Johor, melibatkan kos RM130.78 juta oleh Syarikat Zinpac Enterprise Sdn. Bhd. yang telah bermula 18 Mac lepas dan dijadualkan siap pada Mac 2028.
Menerusi projek itu, jalan berkenaan akan dinaikkan aras di lima lokasi sering berlaku banjir selain kerja-kerja pembaikan selekoh yang juga kawasan kerap berlaku kemalangan.
Sementara itu, lima projek lain ialah projek menggantikan pembetung kepada jambatan di laluan Jalan Paya Kemunting (Jitra) - Bukit Kayu Hitam (FT001), Kedah dan projek mengganti jambatan Jalan Perwira Jaya - Selancar (FT2490), Rompin, Pahang.
Projek mengganti Jambatan Gantung di Kampung Rekoh, Rompin, Pahang; projek membina baru Jambatan Konkrit di Kawasan Eco Rimba Kenong Mukim Cheka 2, Pahang dan projek mengganti jambatan FT1292 di Seksyen 2.90, Jelebu, Negeri Sembilan.
Nanta turut mengingatkan semua kontraktor yang menerima SST hari ini untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan amanah serta memastikan setiap projek disiapkan mengikut spesifikasi, kualiti dan tempoh yang telah ditetapkan atau lebih baik siap awal atau ahead of time (AOT).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami