Dua beradik yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka maut setelah motosikal mereka dihempap pokok yang tumbang secara tiba-tiba berdekatan Masjid Gunung Keriang di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, Rizal Mat Saad, 21, dan adiknya Muhammad Raziq, 17, datang dari Kuala Kedah untuk pulang ke rumah mereka di Sungai Korok.

Rashidi Mat Saad, 34, yang merupakan abang kepada mereka berkata kedua-dua adiknya itu mahu ke Kuala Kedah untuk menghantar komputer riba kepada bapa saudara mereka.

Beliau berkata jenazah kedua-duanya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Kubang Sepat, Jitra selepas solat Zohor.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata kedua-dua mangsa terjatuh daripada motosikal selepas dihempap pokok hingga menyebabkan mereka terbabas kira-kira 50 meter dan maut di tempat dikejadian.