Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak tidak menolak kemungkinan kedua-dua beradik yang rentung dalam kebakaran awal pagi Khamis kerana tidak menjumpai kunci gril pintu rumah mereka.

Ia berdasarkan penemuan mayat mangsa di pintu utama dan pintu ruang tamu.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya yakin kedua-dua mangsa cuba keluar untuk menyelamatkan diri ketika kejadian.

“Berdasarkan pengamatan awal kita, mangsa sebenarnya gagal untuk keluar daripada rumah berkenaan walaupun berada di depan pintu, disebabkan keadaan rumah adalah berkunci dan ada gril.

“Kemungkinan besar dia tidak menjumpai kunci gril berkenaan dan disebabkan itu dia gagal melepaskan diri,” ujar Azmi.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi itu, dua beradik, termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) rentung apabila rumah mereka di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Parit Puntar terbakar.

Mangsa dikenali sebagai Aisyah Din, 80, dan adiknya seorang OKU, Ida Din, 56.

Pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dengan dibantu pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Lembah Klang bagi mengetahui punca kebakaran.