IPOH: Dua beranak masing-masing direman tujuh dan dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Cheh Kati, Kuala Kangsar semalam.
Perintah reman terhadap dua lelaki berusia 15 dan 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas menerima permohonan daripada polis bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan seorang wanita berusia 49 tahun ditemukan mati dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2.38 petang selepas ahli keluarga menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek, selain polis menemukan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.
-- BERNAMA