BANDAR BAHARU: Dua beranak maut selepas kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Permatang Kerat Telunjuk, di sini pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, dalam kejadian jam 8 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Alphard itu dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun bersama lima penumpang termasuk ibunya berusia 85 tahun.

"Mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Serdang menghala ke Bandar Baharu.

"Siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Alphard yang dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sisi kanan lori berkenaan.

"Kemalangan itu menyebabkan kenderaan MPV Toyota Alphard itu terbabas ke kiri jalan. Lokasi kejadian mempunyai lampu jalan di kedua-dua hala laluan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Azmi berkata, akibat pertembungan itu, pemandu Toyota Alphard dan ibunya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat dua beranak itu kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

"Pemandu lori berusia 43 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan," katanya.