Skip to main content

Malaysia

Dua ditahan bersama dadah RM57.15 juta di Muar

#JohorBahru: Polis  menahan dua warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM57.15 juta yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam serbuan di kawasan Parit Amat Laut, di Muar semalam.
Dadah tersebut dirampas hasil risikan PPM Wilayah Dua yang mengesan beberapa kenderaan dan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan. - Gambar/ PPM

JOHOR BAHRU: Polis  menahan dua warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM57.15 juta yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dalam serbuan di kawasan Parit Amat Laut, di Muar semalam. 

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ACP Noor Azman Jamal berkata lelaki dan wanita berusia 63 dan 43 tahun itu diberkas dalam serbuan pada 12.30 tengah malam oleh sepasukan Unit Risik Marin PPM Wilayah Dua Muar serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Beliau berkata dadah tersebut dirampas hasil risikan pihaknya yang mengesan beberapa kenderaan dan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Menerusi pemerhatian awal yang dijalankan, dilihat beberapa orang sedang memunggah sejumlah bungkusan disyaki dadah ke dalam bot. Pasukan seterusnya menyerbu dan menahan dua individu itu yang merupakan penghantar (bekalan)," katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut menemukan 517 bungkus plastik disyaki mengandungi 549 kilogram syabu, 191,268 pil ekstasi dan 4,000 katrij dipercayai berisi cecair dadah yang disembunyikan dalam bot serta but kereta.

Noor Azman berkata turut disita sebuah bot fiber dan dua enjin jenis Yamaha Enduro 85 kuasa kuda.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat sekiranya terdapat individu lain terlibat dalam kegiatan itu selain dua individu tersebut yang mempunyai hubungan sebagai rakan.

“Kedua-duanya direman seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement