GEORGE TOWN: Dua unit injap berdiameter 1.2 meter (m) yang rosak di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, sudah siap diganti oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sekitar jam 4 petang tadi, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan sampingan di 19 daripada 22 lokasi lain di seluruh Pulau Pinang, juga telah disiapkan dengan baki tiga lagi sedang dalam proses pembaikan dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

Chow berkata setakat ini pihaknya amat berpuas hati dengan kemajuan gerak kerja oleh pasukan PBAPP, malah ia telah disiapkan lebih awal daripada dijadualkan.

"Setakat petang ini, mereka (PBAPP) sudah mencapai apa yang ditegaskan saya semalam, yang mana bahagian pertama iaitu penggantian dua injap utama di LRA perlu siap dalam tempoh 24 jam.

"Walaupun kerja penggantian itu siap awal, tetapi kita belum boleh meraikannya sehinggalah pengguna di kawasan terakhir mendapat semula bekalan. Buat masa ini, fokus perlu diberikan terhadap peringkat pemulihan yang mana ia belum lagi dimulakan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan khas ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung, di sini hari ini.

"Jika semuanya berjalan lancar, pengguna pertama boleh menerima air beberapa jam lebih awal daripada dijadualkan sebelum ini (6 pagi 11 Jan), membabitkan sebahagian kawasan di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS), begitu juga sebahagian pengguna di George Town, dan diikuti lokasi lain mengikut peringkat pemulihan sehingga 14 Jan," katanya.

Dalam pada itu ditanya sama ada kebocoran pada paip bawah air 1.35 sentimeter di Sungai Perai, yang berlaku selepas PBAPP menutup bekalan air pagi akan melambatkan proses pemulihan air, Chow berkata kebocoran itu telah pun diatasi dan pemulihan air akan tetap dilakukan mengikut jadual.

Seramai 590,000 atau 80 peratus penduduk Pulau Pinang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula jam 6 pagi hari ini, bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan dua injap utama di Loji LRA Sungai Dua.

Sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam, manakala 157 kawasan membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau, akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

-- BERNAMA