SANDAKAN: Dua kanak-kanak lelaki warganegara tempatan ditemukan lemas ketika mandi di sebuah kolam terbiar di Jalan Sungai Manila di sini, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan mangsa masing-masing berumur sembilan dan 11 tahun.
Menurut kenyataan itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan menerusi talian MERS 999 pada 6.01 petang sebelum sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada 6:36 petang, kedua-dua mangsa berjaya dijumpai dan dibawa keluar dari kolam berkenaan oleh orang awam.
"Pemeriksaan lanjut oleh pihak Kementerian Kesihatan bagaimanapun mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan pasukan bomba bertindak membantu mengangkat dan membawa mayat kedua-dua mangsa ke lokasi yang selamat sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi diketuai Komander Operasi PBK I Rosemedian Majid itu ditamatkan sepenuhnya pada 7:08 malam.
-- BERNAMA