KUALA LUMPUR:Dua buah kapal, MT Strovocos dan MV Ocean Line 5001, dilaporkan berlanggar pada kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika arah barat daya Terminal Tanjung Bruas, Perairan Tanjung Keling, Melaka pada Jumaat.

Bagaimanapun, Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan memaklumkan perlanggaran membabitkan kapal pengangkut pasir, MV Ocean Line 5001 dan kapal tangki, MT Strovocos, kira-kira pukul 11.38 pagi itu, tidak menyebabkan kemalangan jiwa serta ancaman kepada alam sekitar.

"MV Oceanline 5001 dari kawasan tambakan Kota Laksamana menuju ke lokasi pengambilan pasir luar had pelabuhan Melaka sebelum melanggar bahagian tengah sebelah kiri MT Strovocos yang ketika itu berlabuh di dalam had pelabuhan Melaka," menurut kenyataan itu.

Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kapal tersebut mengalami kerosakan dan susulan itu JLM telah menubuhkan pasukan penyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurut kenyataan itu, JLM juga akan sentiasa memantau situasi tersebut bagi mengekalkan keselamatan pelayaran kapal lain sekali gus memastikan alam sekitar marin tidak tercemar.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat yang benar dan tepat berhubung kes itu selain menyalurkan sebarang maklumat rasmi terus kepada jabatan berkenaan.

-- BERNAMA