Dua lagi trak bantuan MyCARE berjaya masuk ke Gaza melalui Rafah

Berpuluh-puluh trak yang membawa bantuan kemanusiaan sedang menunggu pelepasan melintas masuk ke Gaza menerusi pintu Rafah di Mesir. - Reuters
KUALA LUMPUR: Dua buah trak membawa 1,600 guni tepung menerusi bantuan kemanusiaan yang dihantar Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berjaya memasuki Gaza melalui sempadan Rafah dan diagihkan pada awal minggu lepas.
Pengurus Kanan Projek MyCARE Kamarul Halim Sakrani berkata 500 buah keluarga masing-masing sudah menerima satu guni tepung seberat 25 kilogram (kg).
"Pada saat pasca gencatan senjata ketika ini, penduduk Gaza masih tidak menerima bekalan makanan yang cukup.
"Kemasukan trak yang membawa tepung dapat membantu mereka daripada kelaparan dan ia juga adalah makanan ruji penduduk di Gaza selain dapat bertahan lama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata meskipun gencatan senjata tercapai, namun rejim Zionis hanya membenarkan kira-kira 100 buah trak membawa bantuan masuk ke Gaza, bertentangan dengan perjanjian di awal gencatan senjata bahawa 600 trak akan dibenarkan masuk setiap hari.
Sementara itu, Pengurus MyCARE Gaza Dr Zaid Shehada berkata keadaan rakyat di Gaza kini sedikit bertambah baik berbanding sebelum gencatan senjata walaupun masih berdepan banyak cabaran.
"Keperluan kemanusiaan masih sangat besar. Walaupun jumlah bantuan semakin meningkat, kuantitinya masih jauh daripada mencukupi bagi menampung keperluan penduduk Gaza.
"Kira-kira 750 tan makanan sehari dibenarkan masuk ke Gaza jauh di bawah sasaran sekitar 2,000 tan sehari dan penghantarannya juga tidak berterusan," katanya.
Beliau berkata jumlah lori bekalan masih terhad manakala jenis barangan yang dibenarkan dikawal ketat pihak Israel dan keadaan itu terus menyebabkan kekurangan barangan asas dengan harga masih tidak mampu ditanggung kebanyakan keluarga.
Sebelum ini, 40 tan tepung dan 1,000 pek makanan masing-masing bernilai RM360,000 yang dihantar daripada lima trak melalui sempadan Rafah pada 16 Okt lepas telah diagihkan di sekitar kem sementara di bandar Gaza.
Sejak Okt 2023, serangan Israel dilaporkan telah membunuh hampir 68,200 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menjadikan wilayah itu sebahagian besarnya musnah dan tidak boleh didiami.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


