Dua lelaki direman bantu siasatan kes bunuh di Mantin

Dua lelaki direman tujuh hari semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah unit pangsapuri di Mantin, dekat sini Selasa lepas. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Dua lelaki tempatan direman tujuh hari hingga 6 Jan ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah unit pangsapuri di Mantin, dekat sini Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata pihaknya sebelum itu menerima maklumat berkaitan kejadian pada 11.08 pagi.
"Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa yang berusia 30-an itu mengalami 12 (kesan) tikaman termasuk di belakang kepala, dada serta leher dan susulan itu, dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan di lokasi kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pemeriksaan forensik ke atas mangsa telah dijalankan dan siasatan menyeluruh termasuk membabitkan rakaman litar tertutup, keterangan saksi, analisis forensik dan siasatan teknikal turut dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini.
Johari berkata beliau turut tidak menolak kemungkinan penglibatan individu lain dalam kejadian berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


