TAWAU: Dua lelaki warga Indonesia maut dalam satu kemalangan jalan raya di kilometer 60 Jalan Tawau-Kunak Sabah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, kemalangan maut itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah jip jenis Toyota Hilux.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 malam itu, jip Toyota Hilux yang dipandu lelaki berumur 44 tahun itu dalam perjalanan menuju ke Tawau dari arah ladang kelapa sawit di kawasan Sapang Kunak.

"Sementara motosikal yang dinaiki mangsa bersama rakannya berada dalam lorong yang sama menuju ke rumah di kawasan berhampiran setelah selesai membeli barang keperluan.

"Ekoran hujan lebat, pemandu jip tidak dapat melihat dengan jelas motosikal yang dinaiki mangsa lalu melanggar dari belakang," katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa, Usman Jamal, 30, yang menunggang motosikal terbabit terseret 50 meter dan maut serta merta di lokasi kejadian.

Manakala rakannya, Aziz Samsudin, 16 dijumpai kira-kira 215 meter dari lokasi kejadian dan mengalami kecederaan parah, kemudian digegaskan ke hospital Tawau sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 pagi Sabtu.

Sementara pemandu jip yang merupakan pengurus syarikat tidak mengalami sebarang kecederaan dan tampil ke balai polis Tawau untuk memberikan keterangan.

Bagaimanapun dia ditahan untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.