Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Akmal Saleh mahu pertahan Merlimau, fokus raih semula kepercayaan pengundi

Akmal berkata, keutamaan bukan untuk mengejar kemenangan dengan majoriti besar, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dapat dipertahankan. - Astro AWANI
Akmal berkata, keutamaan bukan untuk mengejar kemenangan dengan majoriti besar, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dapat dipertahankan. - Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

MERLIMAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr Akmal Saleh mengakui masih terdapat kelemahan sepanjang tempoh perkhidmatannya, namun bertekad mendapatkan semula kepercayaan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau berkata, keutamaan bukan untuk mengejar kemenangan dengan majoriti besar, sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dapat dipertahankan menerusi rekod khidmat sepanjang hampir lima tahun sebagai wakil rakyat.

“Sejujurnya, saya tidak mengharapkan majoriti besar. Saya hanya mahukan kepercayaan orang ramai selepas empat tahun 11 bulan saya berkhidmat.

Advertisement

“Bagi saya, sama ada menang dengan majoriti besar atau tidak, itu bukan perkara utama. Apa yang lebih penting ialah amanah yang diberikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di Dewan Platinum Politeknik Merlimau selepas penamaan calon pada Sabtu.

Mengulas persediaan menghadapi PRN kali ini, Akmal berkata jentera parti daripada pelbagai gabungan dijangka memberi tumpuan kepada Melaka, justeru semua pihak perlu memastikan kempen berlangsung secara matang tanpa sebarang provokasi.

Advertisement

Katanya, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjejaskan hubungan masyarakat memandangkan semua pihak merupakan anak Melaka.

Beliau turut mengakui terdapat pelbagai kritikan dan propaganda yang dilemparkan terhadap dirinya menjelang pilihan raya, namun yakin pengundi mampu menilai prestasi serta perkhidmatan yang telah diberikan.

“Rakyat boleh menilai dengan baik apa yang telah kita lakukan dan apa yang ditawarkan oleh setiap calon.

“Saya tidak ada masalah berdepan dengan kritikan. Perkhidmatan saya menjadi tawaran kepada rakyat. Kalau mereka rasa tidak bagus, jangan undi saya. Tetapi kalau mereka berpuas hati, saya mohon diberikan kepercayaan sekali lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal menggesa semua parti politik supaya mengamalkan kempen berhemah dengan mengelakkan fitnah serta serangan peribadi.

Menurutnya, tumpuan sepanjang tempoh berkempen tidak seharusnya terhad kepada persaingan mendapatkan undi, sebaliknya perlu menjurus kepada perancangan mentadbir negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, segala kritikan dan cabaran yang dihadapi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pemimpin dan pengalaman itu akan dijadikan ruang untuk memperbaiki kelemahan pada masa hadapan.

Akmal diberi kepercayaan oleh BN mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya pada PRN 2021 dengan majoriti 3,248 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement