KUNAK: Dua mangsa meninggal dunia selepas bot yang dinaiki mereka karam di Pulau Tagabua, Perairan Madai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, bot berkenaan dilaporkan dinaiki empat individu dan setakat ini dua lagi mangsa masih gagal ditemui.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, pada jam 7 malam.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dan bot penyelamat bergegas ke lokasi kejadian.

“Mengikut maklumat yang diterima, terdapat empat mangsa terlibat namun dua mangsa sudah ditemui orang awam.

“Manakala dua lagi mangsa sehingga kini masih belum dapat ditemui,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kini mengambil tindakan dan maklumat terperinci untuk membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Katanya, setakat ini masih belum ada sebarang petunjuk berhubung lokasi mangsa dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.